5 ulasan Jumaat, September 25, 2009

Dalam kereta sengaja aku simpan sehelai ketayap, sehelai sejadah dan sebuah kitab surah Yassin.

Ketayap itu aku beli dengan harga sepuluh ringgit di satu Jumaat berhampiran Masjid Abu Bakar, Damansara tahun lepas. Sejadah itu diberi percuma semasa aku beli baju batik di Jalan T.A.R. manakala kitab surah Yassin berserta doa-doa harian merupakan hadiah perkahwinan daripada pasangan pengantin di Hulu Langat.


Niatnya, jika ada kematian aku sudah bersedia dengan ketayap dan kitab Yassin. Niatnya lagi, jika aku lewat untuk solat Jumaat, aku sudah bersedia dengan ketayap dan sejadah, mana tahu jika aku perlu sembayang di atas jalan kerana ruang masjid sudah penuh.


Sayangnya ketayap itu aku baru pakai cuma empat kali. Dua kali di kematian saudara dan dua kali untuk solat Jumaat di masjid. Bukanlah aku jarang ke masjid, cuma aku sering lupa pada ketayap yang tersimpan di dashboard kereta.

2 ulasan Khamis, September 17, 2009

Duduk di rumah merpati yang 95% penghuninya bukan orang Islam bukan bermakna aku bebas masak lauk makan tengahari di bulan Ramadhan. Cuma aku yang tak pandai nak masak apa-apa.


Bulan puasa dan sambutan Aidilfitri di sini tak semeriah Tahun Baru Cina. Adalah dua-tiga rumah yang pasang lampu 'lip-lap' di beranda. Satu perkara yang aku tak dapat buat ialah bertukar juadah berbuka puasa. Bukannya tak ada orang Melayu, cuma aku tak tahu mana satu rumah mereka. Jika bertembung dalam lif, kami sekadar senyum dan angguk kepala. Lumrah duduk di rumah merpati berbelas tingkat.


Di tingkat aku, terdapat 7 buah rumah yang lain. Kesemuanya bangsa Cina. Nasiblah jiran aku perihatin dengan budaya bertukar juadah buka. Mungkin dia pernah baca di mana-mana.


Baru-baru ini dia ketuk pintu pagarku pada jam sepuluh pagi sambil hulur goreng pisang panas-panas. Untuk berbuka katanya.

3 ulasan Isnin, September 07, 2009

Tahun ini sudah masuk bulan sembilan. Baru dua kali aku berbual dengan 'Uncle Topi'. Itupun kerana berselisih di dalam lif rumah merpati 16 tingkat ini.

'Pergi pasar ke uncle?'
'Ya!'

Dan kami ke kereta masing-masing.



RM20 (termasuk harga pos dalam Malaysia).
klik gambar untuk info.